Lompat ke konten Lompat ke sidebar Lompat ke footer

Giliran Johor Pula Memfitnah Hizbut Tahrir


Kuala Lumpur- Visi Muslim- Beberapa pihak berkuasa agama di negara ini nampaknya sudah kehilangan arah dan profesionalisme dalam menjalankan amanah yang diletakkan di atas bahu mereka. Tumpuan mereka kini adalah untuk memburukkan gerakan Islam yang tidak sependapat dengan mereka, dan mencari-cari kesalahan gerakan tersebut, dan apabila tidak menjumpainya, maka mereka mereka-reka cerita untuk memfitnah gerakan tersebut. Inilah apa yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama Johor terhadap Hizbut Tahrir. Setelah dua negeri, Selangor dan Sabah mengeluarkan fatwa fitnah ke atas Hizbut Tahrir, kini giliran Johor pula untuk melakukan hal yang sama, malah fitnah yang dikeluarkan lebih dahsyat lagi berbanding Selangor dan Sabah. La hawla wa la quwwata illa billah..

Sungguh menyedihkan apabila Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sanggup menggunakan masjid di seluruh Johor sebagai tempat menyebarkan fitnah dan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir. Rumah Allah (swt) yang seharusnya dijaga kesucian dan kemuliaannya, telah dikotori oleh JAINJ dengan fitnah dan pendustaan yang ternyata berniat jahat ke atas Hizbut Tahrir. Lebih menyedihkan apabila JAINJ sudah pun diperingatkan agar tidak melakukannya, melalui memorandum bantahan dan himpunan aman yang dilakukan oleh Hizbut Tahrir di ibu pejabat mereka, namun mereka tetap berdegil seolah-olah masjid itu adalah rumah mereka dan mereka berhak melakukan apa sahaja di dalamnya, termasuk mengotorinya! Mimbar Jumaat yang seharusnya diguna untuk mendidik dan membangkitkan umat, telah dijadikan oleh JAINJ sebagai pentas politik untuk memfitnah pihak yang tidak sependapat dengan mereka.

Selain menyalin semula fitnah yang dilontarkan oleh Selangor dan Sabah, khutbah Jumaat pada 10/01/2020 yang bertajuk “Hindari Fahaman Hizbut Tahrir” itu telah memuatkan pelbagai fitnah lain yang keji dan tidak masuk akal. Disebutkan di dalam khutbah bahawa semua perkara yang dinyatakan tentang Hizbut Tahrir merupakan keputusan (fatwa) yang telah dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor. Hal ini menambahkan rasa terkejut kami kerana badan yang seharusnya terdiri daripada alim-ulama umat ini sanggup melontarkan fitnah dan pendustaan ke atas Hizbut Tahrir, tanpa melakukan tabayyun atau perjumpaan dengan Hizbut Tahrir terlebih dahulu! Apakah begini caranya badan pembuat fatwa mengeluarkan sesuatu fatwa, yakni tanpa tabayyun, tanpa memastikan kesahihan fakta, tanpa melakukan pertemuan dan tanpa muzakarah dengan pihak yang mereka ingin fatwakan? Bukankah elok jika Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor memanggil kami terlebih dahulu, dengan cara yang baik, untuk bertanya atau berbincang mengenai fahaman dan pegangan kami!?

Di antara fitnah yang Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan JAINJ lontarkan dalam khutbah berkenaan ialah pendapat Hizbut Tahrir mengenai azab kubur; mempercayai bahawa qadha’ dan qadar diambil dari falsafah Yunani dan perbuatan manusia tidak ada hubungan dengan qadha’ dan qadar Allah (swt); hidayah dan dhalalah bukan dari Allah (swt), tetapi dari manusia; mengingkari ta’wil ayat-ayat Al-Quran yang bersifat mutasyabihat; menyatakan siapa sahaja boleh berijtihad; kaum lelaki dan wanita bebas berjabat tangan dan harus mencium wanita bukan mahram tanpa maksud berzina!!!

Berdasarkan fitnah yang dilontarkan dalam khutbah tersebut, jelas menunjukkan yang Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor bukan hanya tidak melakukan kajian, atau jika dilakukan sekalipun hanyalah bersifat separuh masak, malah jelas terbukti bahawa mereka hanya mencedok fitnah yang telah lama berlegar di alam maya yang dilontarkan oleh golongan yang busuk hati terhadap Hizbut Tahrir. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor seharusnya datang dan bermuzakarah dengan Hizbut Tahrir sendiri berbanding mengambil sumber daripada pihak yang memusuhi Hizbut Tahrir! Sesungguhnya Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor mengetahui bahawa pejabat Hizbut Tahrir sentiasa terbuka dan anggota Hizbut Tahrir sentiasa bersedia untuk bersemuka, dan mereka boleh datang pada bila-bila masa untuk mencari kebenaran, namun sayangnya mereka memilih untuk mencari kebatilan.

Tidak cukup dengan itu, melalui khutbah tersebut juga Hizbut Tahrir dituduh boleh menjadi ancaman kepada perpaduan umat Islam, keamanan dan keselamatan negara. Betapa dahsyatnya andaian yang direka-reka ini! Kami sangat hairan bagaimana mungkin sesebuah fatwa boleh dikeluarkan hanya atas dasar andaian seperti ini!? Ia bukan sahaja andaian, malah terbukti bertentangan dengan fakta! Sejak lebih 20 tahun kewujudan Hizbut Tahrir di Malaysia, kami tidak tahu sejak bila Jawatankuasa Negeri Johor menyaksikan yang negara ini telah menjadi kucar-kacir dan huru-hara disebabkan oleh Hizbut Tahrir!

Tidak berhenti di situ, teks khutbah diteruskan dengan fitnah dan pendustaan dengan menuduh Hizbut Tahrir berpandangan bahawa seorang pemimpin harus diperangi jika tidak mengamalkan hukum Islam. Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan juga JAINJ seolah-olah sudah hilang kewarasan apabila membuat tuduhan yang langsung tidak berpijak di bumi nyata seperti ini. Tuduhan ini memang jelas berniat jahat ke atas Hizbut Tahrir. Sekiranya kami meminta bukti pemimpin manakah di Johor, di Malaysia atau di seluruh dunia, yang telah diperangi atau dibunuh oleh Hizbut Tahrir kerana mereka tidak menerapkan hukum Islam, nescaya sampai kiamat Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor dan JAINJ tidak akan dapat mengemukakan walau pun satu bukti, walau pun mereka mengumpulkan seluruh manusia dan jin untuk berbuat demikian!

Kepada para khatib yang tidak membacakan khutbah tersebut, jazakumullahu khairan kami ucapkan. Semoga Allah (swt) memberkati dan memberi keberanian kepada kalian untuk terus berdiri menyatakan kebenaran. Kepada para khatib yang membacakannya atas alasan apa sekalipun, maka kami memohon keampunan kepada Allah (swt) untuk kalian. Kepada Jawatankuasa Fatwa Negeri Johor, yang seharusnya terdiri daripada para ulama yang ikhlas lagi profesional, kami menasihatkan kalian agar menarik balik fatwa yang telah dikeluarkan supaya fitnah ini tidak tersebar di muka bumi dan kembali kepada tuannya. Sesungguhnya fitnah dan pendustaan yang dilontarkan itu tidak akan mendatangkan kebaikan sedikit pun, baik di dunia apatah lagi di akhirat. Marilah kita meraih kebahagiaan di akhirat dengan bertemu Allah (swt) tanpa kita membawa dosa orang yang kita fitnahkan.

Abdul Hakim Othman
Jurucakap Hizbut Tahrir Malaysia

Posting Komentar untuk "Giliran Johor Pula Memfitnah Hizbut Tahrir"

close